Khamis, 9 September 2010

Kuih Lompang Ibu (Sempena Aidilfitri)


"Malas"

"Kenapa pulak malas."

"Ada masa orang pergi la."

"Hari ni kan tak sekolah, pergilah. Menjawab pulak dia."

"Tau... nantilah."

"Geram betul. Sakit hatilah apabila tak nak pergi tapi disuruh juga pergi."

"Ha, cakap apa tu, mak dengar ni."

"Tak de, orang tak cakap apa-apa,"


Setiap kali disuruh ke rumah 'Ibu'nya, ada-ada sahaja alasan yang Adi berikan. Itulah, inilah. Mana tidak emaknya menyinga kalau apa yang disuruh ditangguh-tangguh. Adi sebenarnya bukan menangguh, tetapi perasaan dalam hatinya itu selalu menghalangnya untuk menjenguk insan yang bernama 'Ibu'. Adi masih tidak dapat menerima hakikat. Adi masih tidak dapat menerima apa yang tersurat. Baginya semua itu hipokrit, lakonan, tak realistik.

Petang itu Adi mengayuh basikalnya ke rumah insan yang bernama 'ibu' dengan muka mencuka. Apabila membelok ke rumah papan bercat warna cream berjalur hijau pucuk pisang, Adi mula menjadi pelakon. Senyumnya sampai ke telinga. Digapai tangan 'Ibu' lalu diciumnya. Diberikan buah tangan yang dibawanya tadi. Kakak-kakak dan adik-adiknya yang lain datang menerpa.


"Jom main masak-masak."

"Kenapa lama tak datang?"

"Jom abang Adi kita main pondok-pondok"


Keletah dua orang adiknya melupakan semua perkara yang menyebakkan dadanya. Leka bermain, main pondok-pondok, masak-masak dan nyanyi-nyanyi, itu sahajalah yang menggembirakan dirinya ketika berada di situ.


"Ida, Liza ajak abang Adi makan," suara 'ibu' tiba-tiba menghentikan keasyikan kami bermain.

"Jom, abang Adi, 'ibu' masak kuih lompang."


Adi tersenyum. Dia tahu bahawa itulah sebenarnya pengikat untuk dia datang menjenguk 'ibu'. Kerana kuih lompang itu aku sanggup datang lagi walaupun bukan dengan rela hati.


"Abang Adi, kalau makan tu tak gelojoh boleh tak?" Ida menegur.

"Adi, makan pelan-pelan, tak ada orang nak makanlah kuih lompang tu. 'Ibu' memang masak untuk Adi," kakak keduaku pula berkata.

"Sedap?" 'Ibu' bertanya.


Adi diam sahaja. Entah sudah berapa biji kuih lompang ibu yang dimakannya. Cuma yang Adi sempat tengok ialah senyuman wajah 'Ibu' berdiri di sebelahnya, melihat Adi makan dengan gelojoh.


"Kenapa lama tak datang, Adi" tanya 'Ibu' lembut.


Adi tidak menjawab. Rasa ghairah menikmati kuih lompang hilang. Seleranya terhenti. Dia mengambil sebiji yang berwarna hijau kegemarannya itu lalu dimasukkan seluruh dalam mulutnya sebagai cara tak perlu menjawab soalan 'ibu'.


"Ni macam tak baca basmalah aje ni," kakak Adi yang sulung menyapa. Baru pulang dari mana entah Adi pun tak tau.

"Adi, bila sampai."

"Tadi" jawab Adi ringkas.


Adi bingkas, basuh tangan dan ke ruang tamu rumah papan 'ibu' dengan adik-adik. Adi menoleh ke belakang, yang terlihat hanya kakak mengemas sisa makanan yang berterabur di atas meja. 'Ibu' Adi dilihat berteleku di ambin, entah apa yang dibuatnya Adi pun tak tahu.Setiap kali Adi pulang dia jarang dapat berjumpa 'ayah', dan abang-abangnya yang lain. Memang besar keluarga Adi tetapi yang dia jumpa balik-balik kakak-kakak dan adik-adiknya selain 'Ibu'. Setiap kali pulang ke rumah mak, Adi sering merungut. Dia kepingin dikucup, dicium, dipeluk oleh 'Ibu' tapi sekalipun tak pernah dia rasai. Datang dengan mencuka, pulang juga dengan mencuka.


"Adi datang dengan siapa, nak?"

"Adi datang sorang 'Ibu.'

"Ibu nak makan apa, nanti Adi belikan."

"Tadi dah makan oat, masih kenyang lagi."

"Ibu kena makan, nanti tak ada tenaga."

"Ibu nak rehat dulu, ibu letih sangat, penat."

"Tak apa lah ibu, ibu rehat dulu, nanti kita sembang lagi"


Adi mengamat-amati tubuh ibu. Jauh berbeza susuk tubuh ibu kalau Adi bandingkan 30 tahun yang lalu. Dulu ibu gagah, setiap kali Adi bertandang 'Ibu' akan buatkan Adi kuih lompang. Ada kalanya ibu sengaja buatkan semua berwarna hijau. Adi bertanya sebab semua kuih lompang ibu berwarna hijau. Senang sahaja jawapan 'Ibu', hijau tandanya muda... kan nama Adi tu bermaksud 'muda'. Walaupun setiap kali Adi bertandang, bukan sahaja mukanya mencuka, tetapi kadang-kadang lebih daripada itu. Tetapi Adi tetap mengunjungi 'Ibu' setiap kali disuruh emak. Suka atau tidak suka dia tetap akan datang. Bukan kerana suka tetapi sebab disuruh mak dan sebab kuih lompang ibu.


"Adi, tak pulang lagi?" tanya 'Ibu' lemah.

"Tidak ibu, Adi nak jaga ibu. Adi cuti beberapa hari sebab nak jaga ibu,"


Cepat Adi menjawab sedangkan sebenarnya Adi cuti tanpa gaji. Sengaja Adi mengambil kesempatan ini untuk bersama-sama 'Ibu'. Walaupun dia tahu dia tidak pernah dijaga, dipelihara, dimandikan, dimanjakan, tetapi demi membalas jasa melahirkan Adi sanggup lakukan semuanya itu. Walaupun dia selalu rajuk dengan 'Ibu' sebab tak pernah cium dahi, cium pipi dan tak pernah peluk tetapi dia tetap ingin memberikan perkhidmatan terakhir kepada 'Ibu'nya.


"Lusi, ibu berak,"


'Ibu' memanggil Lusi, pembantu dari seberang yang memang ditugaskan merawat 'Ibu' oleh abang-abang Adi. Adi memang tidak mampu hendak membelanjakan wang mengupah orang menjaga 'Ibu'. Gajinya tidak sebanyak mana kalau dibandingkan abang sulongnya yang jadi Pengurus syarikat stesen minyak di sana dan sini atau abang ngahnya yang menjadi orang terpenting sebuah syarikat kewangan.


"Tidak mengapalah Lusi, biar abang Adi bersihkan ibu,"

"Eh, jangan begitu bapak, nanti tuan marahin saya."

"Kita buat sama-sama, Lusi."

"Ibu dah sembahyang?" Terkejut Adi dengan suara itu sedangkan dia asyik meladeni 'Ibu'.

"Baru bersihkan, nanti Ibu sembahyang," jawab 'Ibu".

"Adi, bila kausampai?" tanya abang ngah apabila terpandang Adi leka membersihkan najis 'Ibu'.

"Baru sebentar tadi, Abang Ngah."

"Kak Ngah tak ikut ke ?"



Sengaja Adi tanya soalan itu walaupun sebenarnya dia sudah tahu jawapannya. Kak Ngah memang tidak 'lalu' nak datang. Kalau dia datangpun Adi tahu, perkara lain tidak ditanya melainkan 'Ibu' sudah sembahyang? Bukannya pernah bantu membersihkan najis 'Ibu'. Sepatutnya Kak Ngah bersihkanlah dahulu najis 'Ibu' barulah cadangkan 'Ibu' sembahyang.Yang Kak Ngah tahu cuma menyuruh dan tidak pernah membantu.


"Malam nanti Pah jaga emak, malam esok pulak Liza jaga, Tulat Ida dan selepas tu Lina." Arah Abang Ngah.


Adi diam sahaja. Dia tak berkata-kata walaupun sepatah. Tergerak juga dalam hatinya bila pula giliran Kak Long, Kak Ngah, Kak Teh, Kak Sham nak jaga. Semua takut dengan bini, tapi kalau dengan adik-beradik semuanya ada giliran.


"Malam ni Adi jaga ibu." Adi mengeluarkan butir kata. Adi lihat semua terdiam. Bungkam.

"Engkau ni Adi, besok jangan jadi macam orang tu, tengok kotor bajunya, duitpun tak banyak. Dah jangan tolong orang tu lagi,"


'Ibu' menyinga apabila mengetahui Adi menolong pak cik yang membetulkan landskap rumah bunglo besar milik abang sulungnya. Bagi Adi pekerjaan itu tidak salah, asalkan halal. Bagi 'Ibu' kerja yang baik ialah kerja yang bergaji besar, tidak kotor dan boleh duduk rumah besar, macam rumah Abang Long, macam rumah Abang Ngah, Abang Teh dan Abang Zul.


"Adi tolong saja ibu," jawab Adi ringkas.

"Sudah basuh tangan, pergi makan."


Adi tidak boleh lupa peristiwa itu, berlaku sewaktu Adi dibawa ke rumah Abang Long di Kuala Lumpur, di Taman Bukit Siputih. Rumahnya Besar, dua tingkat. Memang Adi tak pernah melihat rumah sebesar itu. Kerja-kerja penanaman pokok bunga dan landskap sedang dijalankan. RM10,000 dihabiskan. Banyak betul duit Abang Long. Kalau bab pergi ke rumah Abang Long memanglah Adi suka sebab boleh menghabiskan masa berjalan-jalan sekitar Kuala Lumpur. Abang Long memang suka memanjakan adik-adik, malah semua perbelanjaan Abang Long yang tanggung.Maklumlah Abang Long Pengurus Bank Saudagar di Kuala Lumpur. Dulu Abang Long belajar luar negara. Dengar cerita 'Ayah' jual tanah kepada 'abah' kerana hendak memberi belanja.



Rupa-rupanya tindakan Adi menjaga 'Ibu' selama beberapa hari di Hospital Selayang telah memberi tamparan kepada adik-beradiknya yang lain. Kak Liza memberitahu Adi selepas giliran Adi, Abang Long, Abang Ngah, Abang Teh dan Abang Zul turut bergilir-gilir menjaga ibu. Tidak lagi meminta adik-beradik Adi yang perempuan. Mereka juga sudah penat menjaga 'Ibu'. Sekurang-kurangnya Adi telah memulakan sesuatu yang dapat merubah keadaan. Adi bersyukur.


"Macamana ni Adi, nombor sebakul ni."

"Dah cuba," Adi menjawab ringkas ringkas.

"Tengok Abang Long tu, belajar di luar negara, Abang Ngah tak pernah dapat nombor lain kecuali nombor satu dari darjah satu hingga habis SPM, tengok kakak-kakak semuanya berjaya," bebel 'Ibu'


Adi diam membisu. Dalam hatinya menyesal dia berkayuh basikal dan datang ke rumah papan bercat warna cream berjalur hijau pucuk pisang itu petang-petang begini. Dalam hatinya macam nak balik sahaja ketika itu.


"Lain kali belajar rajin-rajin. Jadikan abang-abang dan kakak-kakak sebagai contoh."



Adi tidak menjawab kerana dia melakukan trick yang sama iaitu memasukkan seluruh kuih lompang yang 'Ibu' buat ke dalam mulutnya. Angguk pun tidak geleng pun tidak. Puas hatinya dengan melakukan begitu. Tidak perlu menjawab.


"Adi datang Ibu," kata Adi lembut menyapa ibu yang terbujur di ranjang putih.


Sudah empat bulan ibu terlantar di situ. Seluruh badannya sudah bertebuk. Yang terakhir urat di leher ibu. Ibu memang sudah tidak dapat melihat. Badan ibu sudah belengas. Berlubang di belakang kerana terlalu lama berbaring. Ibu memang sudah tidak menjawab. Bergerak pun tidak.Terbujur.


"Adi bersihkan ibu. Lepas ni nanti Adi lapkan ibu." pujuk Adi.


Ibu senyap. Ibu senyap. Ibu senyap. Tetapi tiada jawapan daripada ibunya. Adi tenung muka ibunya puas-puas. Tiada lagi garis kedutan di muka ibu. Semuanya sudah membengkak. Semuanya sudah tegang, Berkilat, keras. Pilunya hati Adi melihat ibunya kini. Adi ingin meluahkan sesuatu yang selama ini dipendamnya tetapi dia tidak sanggup. Malah mungkin ibunya tidak mendengar. Tapi dia tekad untuk menzahirkannya.


"Ibu, izinkan Adi kucup dahi ibu, izinkan Adi cium pipi ibu, izinkan Adi peluk ibu."


Butiran mutiara putih mengalir deras dari tubir matanya. Adi peluk ibunya kuat-kuat walaupun ibunya sudah tidak membalas. Adi mencium dahi ibunya puas-puas walaupun ibunya tidak memberi reaksi.Adi menyeka air matanya yang menitik di atas dahi ibu. Adi cium pipi ibunya kanan dan kiri berpuluh-puluh kali. Harum bau pipi ibu. Begini rupanya bau ibu. Bau yang tidak pernah dihidunya selama ini. Dia tekad untuk melakukannya walaupun dia tidak pernah merasai dapat dicium dahi, dicium pipi, dipeluk erat oleh ibunya. Biarlah dia sahaja yang mencium dan memeluk ibunya untuk kesekian kali. Adi menarik tangan ibunya lalu dijabat erat tangan ibunya, rapat-rapat digenggam, dikucup tangan kanan dan tangan kiri ibunya yang sudah tidak berbalas.


"Ampunkan Adi ibu,"

"Adi banyak berdosa kepada ibu, Adi selalu membantah cakap ibu. Adi tidak menegur ibu, Adi monyok depan ibu. Adi mencuka apabila datang ke rumah ibu. Adi tidak menjawab apabila ibu tanya pasal kuih lompang ibu sedap atau tidak."

"Ibu, Adi sayang ibu, Adi mohon ampun ibu. Kuih Lompang Ibu sedap. Tiada bandingan di dunia ini ibu."


Selepas mengucup tangan ibunya. Adi lihat kaki ibu. Kaki yang berjalan membuatkannya makanan kegemarannya itu. Kaki yang kini tidak cukup bilangan jarinya kerana penyakit ibu. Pilu benar hati Adi. Kaki itulah yang selama ini menampung tubuh ibu membesarkan 13 orang anak. Kaki itu jugalah yang menujah lantai sewaktu meneran mengeluarkan Adi dari rahimnya. Segera Adi sujud di kaki ibu, Adi mencium seluruh kaki ibu.Berdosa benar Adi selama ini.


"Ampunkan Adi ibu. Adi banyak berdosa kepada ibu.Ampunkan Adi sebab selalu menyakiti hati ibu. Ampunkan Adi sebab tidak pernah menunjukkan rasa sayang pada ibu. Adi bukan benci ibu. Adi cuma ingin ibu cium dahi Adi, ingin ibu cium pipi Adi, ingin ibu peluk dan dakap Adi. Itu sahaja yang Adi inginkan ibu tetapi ibu tidak pernah beri. Hanya itu sahaja pinda Adi ibu. Tapi nampaknya Adi tidak akan mendapat semua itu dan Adi tadak mungkin merasainya seumur hidup Adi. Adi reda ibu. Adi reda ibu. Adi nantikan pelukan dan ciuman ibu di sana nanti.Ampunkan Adi ibu... "


Kami mengunjungi pusara bonda,
Sunyi pagi disinari suria,
Wangi berseri puspa kemboja,
Menyambut kami mewakili bonda.

Tegak kami di makam sepi,
Lalang-lalang tinggi berdiri,
Dua nisan terkapar mati,
Hanya papan dimakan bumi.

Dalalm kenangan kami melihat,
Mesra kasih bonda menatap,
Sedang lena dalam rahap,
Dua tangan kaku berdakap.

Bibir bonda bersih lesu,
Pernah dulu mengucupi dahiku,
Kini kurasakan kasihnya lagi,
Meski jauh dibatasi bumi.

Nisan batu kami tegakkan,
Tiada lagi lalang memanjang,
Ada doa kami pohonkan,
Air mawar kami siramkan.

Senyum kemboja menghantar kami,
Meninggalkan makam sepi sendiri,
Damailah bonda dalam pengabdian,
Insan kerdil mengadap Tuhan.

Begitulah bakti kami berikan,
Tiada sama bonda melahirkan,
Kasih bonda tiada sempadan,
Kemuncak murni kemuliaan insan.

- Allahyarham Haji Usman Awang


Esok Adi akan mengunjungi pusara ibunya lagi. Ibunya yang tidak pernah mencium dahi, mencium pipi mahupun mendakap dirinya selama ini. Tetapi dia reda dengan ketentuan Illahi dan dia tahu bahawa ibunya sangat sayang kepadanya. Kuih lompang ibu menjadi bukti.

"Selamat Hari Raya Aidilfitri, 'Ibu'."
"Adi sayang ibu."

Tiada ulasan:

Catat Ulasan