Jumaat, 16 Disember 2011

Medan 10-13 Disember 2011

Setelah setahun tidak menghabiskan masa berkualiti bersama-sama keluarga, pada tahun ini kami mengambil keputusan untuk menyeberang Selat Melaka pula. Selepas Ahmad 'Atif tamat peperiksaan SPM dan Ahmad 'Ammar tamat peperiksan Darjah Khas, kami berangkat ke Medan, Sumatera Utara, Indonesia. Sebelum berangkat ke Medan, kami sempat membuat kejutan kepada Ahmad 'Atif dengan sambutan kelahirannya yang ke 17.

9 Disember 2011
10 Disember 2011.
Seawal 4.00 pagi sudah bangun dan menyiapkan diri untuk ke KLIA. Bergerak pukul 5.00 pagi dan kami hampir pukul 5.30 pagi. Terus buat check-in dan tepat jam 6.00 pagi kami berjumpa dengan Tuan Haji Roffein yang akan membawa kami ke Medan dengan pesawat MH680. Selepas solat subuh, kami 'Bag-drop' kat counter dan terus bersarapan pagi di cafe yang ada di situ.
Pukul 8.25 pagi pesawat berlepas dari KLIA menuju ke Lapangan Terbang Polinia, Medan. Setibanya di situ, kami disambut mesra oleh Pak Dian. Kami berkenalan sesama ahli rombongan dan hanya 14 orang sahaja ahli rombongan pada kali ini, dan yang menariknya Mak Long, Pak Long dan Kak Long turut sama-sama ke Medan. Ahli seramai 8 orang dalam keluarga memberikan situasi yang menyelesakan. Bergerak ke bandar Medan dengan menaiki bas besar, kebanyakan kami duduk seorang diri kerana bas muat untuk semua.Kami dibawa ke sebuah restoran yang terletak di sebuah hotel. Makan bubur, mi goreng dan roti bakar. Kami kemudiannya di bawa ke Istana Maimon. Istana Maimun, terkadang disebut juga Istana Putri Hijau, merupakan istana kebesaran Kerajaan Deli. Istana ini didominasi warna kuning, warna kebesaran kerajaan Melayu. Sejak tahun 1946, Istana ini dihuni oleh para ahli waris Kesultanan Deli. Kami sempat melihat-lihat koleksi yang dipamer di ruang pertemuan, seperti foto-foto keluarga sultan, perabot rumah tangga Belanda kuno, dan berbagai jenis senjata. Kami juga sempat bergambar di situ sebagai kenang-kenangan.
Terus makan tengah hari di sebuah restoran kecil tetapi makanannya memang menyelerakan. Singgah sebentar di kedai batik dan telekung. Oleh sebab kepenatan, kami tidak membeli apa-apa dari kedai itu. Nak mencari pulsa untuk Simpati tetapi tiada, perjalanan kami diteruskan ke Danau Toba. Walaupun Pak Dian memberikan info sepanjang perjalanan tetapi akhirnya semua lena. Dalam perjalanan sejauh 165 km, yang biasanya mengambil masa 2 jam tetapi menjadi 4 jam 30 minit akibat jalan sempit dan menaiki serta menuruni bukit bukau. Pemandangan yang menarik petang itu melewati kampung-kampung sekitar amat mendamaikan. Berhenti sebentar di tangtang, tingting, tungtung untuk membeli jajan. Tak beli apa-apa pun kerana rasanya kurang enak dan harganya pun mahal.Kemudian menyambung perjalanan ke Danau Toba, Parapat. Tiba di Danau Toba Cottage sudah hampir Maghrib. Selepas Maghrib kami makan malam dan sempat bertemu beberapa orang kenalan dari Malaysia. Langsung turun ke pasar yang berdekatan tetapi sudah hampir dikemas dan ditutup kedai-kedainya. Sempat membeli buah-buahan dan juga pulsa. Akhirnya dapat menelefon emak di Batu Pahat setelah sekian lama mencari pulsa tetapi tidak dapat. Sebelum tidur makan pelam dan buah rambutan.
11 Disember 2011

Tidur tanpa penyaman udara mahupun kipas, suasana yang nyaman dan hawa yang dingin membangunkan aku apabila kokokan ayam yang sangat jarang didengar di Malaysia bersahut-sahutan dini hari. Selepas solat subuh berkemas dan bersarapan di puncak bukit dengan menyaksikan pemandangan menarik dari atas sana.
Menaiki feri ke Pulau Somasir, destinasi pertama ialah Kampung Ambarita, tempat masyarakat Batak memenggal kepala manusia yang didapati menceroboh mereka. Kemudian bertolak pula ke Kampung Tomok, terdapat perkuburuan Raja Batak di situ, sempat juga membeli belah, langsung pulang ke Danau Toba untuk makan tengah hari di sebuah restoran.

Meneruskan perjalanan ke Brastagi, dalam perjalanan kampung yang kecil kulihat tiada masjid kecuali gereja menandakan masyarakatnya banyak beragama kristian. Namun kawasan tanah tinggi menggambarkan tanahnya yang subur dan mampu menampung penanaman sayur-sayur, bunga-bungaan dan buah-buahan yang enak dan segar.Tiba di Mikie Holiday Resort yang sangat menarik dengan hiasan hari Natal. Sempat bergambar di sekeliling hotel sebelum makan malam, dan selepas makan malam, berposing lagi di laman hotel. Hotelnya sangat menarik. 12 Disember 2011

Sekali lagi tanpa penyaman udara dan kipas tapi mampu membuatkan kami masuk ke dalam comforter tebal. Bangun pagi selepas sarapan pagi sempat menikmati keindahan alam dan juga susun atur bunga-bungaan di hotel. Mengasyikkan.Selepas check out, kami langsung ke Pasar Brastagi. Di situ sempatlah membeli buah pisang kaki dan juga buah slak untuk di bawa pulang. Sempat juga membeli buah tangan sebagai ole-ole dari situ. Dalam perjalanan ke Medan, sempat juga makan buah limau madu yang dibeli tadi.
Berhenti sebentar di air terun, namun hujan kami tidak dapat menikmati pemandangan mahupun turun ke bawah air terjun. Minum kopi dan makan pisang goreng memanaskan badan kami. Cuaca di sini amat sejuk, mengingatkan keadaan sewaktu kami di Beijing pada tahun lepas.
Setibanya kami di Medan selepas makan tengah hari, kami Check In di Hotel Madani Medan.
Kemudiannya bersiap-siap untuk keluar shopping di Pasar Ikan, Medan. Bukan menjual ikan tetapi peniagayang asalnya menjual ikan di situ, tetapi kurang mendapat sambutan tetapi apabila pedagang Arab berjual kain maka tempat itu lebih dikunjungi. Kami ke Medan Mall untuk melihat apa-apa yang ada di situ, tetapi sudah hampir tutup. Kemudian kami makan malam di sebuah restoran Pelangi di Hotel Ancasa International (bertaraf 5 bintang), sempat bergambar di lobi hotel, kemudiannya pulang untuk tidur.
13 Disember 2011
Bangun pagi apabila tahrim kedengaran, selepas azan Subuh, teringin menjejakkan kaki di Masjid Raya, Medan untuk bersolat subuh berjamaah. Terasa nyaman dan selesa di masjid yang terletak benar-benar berhadapan Hotel Madani Medan. Selepas sarapan, kami menaiki teksi Bluebird untuk ke Medan Mall. Sempat membeli buah tangan dan ole-ole untuk dibawa pulang. Tiga buah pasar kami jejaki di bangunan Medan Mall itu, Selepas membeli KFC bucket, kami pun pulang ke hotel kerana mesti check-out pukul 1.00 tengah hari.


Pak Dian sudah menunggu di lobi hotel untuk menghantar kami ke Lapangan Terbang Polinia Medan. Kami menuju pulang dengan seribu kenangan yang sukar dilupakan. Selamat berangkat tepat jam 3.50 petang ke KLIA dan tiba pukul 5.50 petang. Selepas bersalam-salaman dengan kakak dan ipar, kami menuju ke Kajang pula.

Semoga bercuti lagi... destinasi mendatang ialah Korea Selatan...


Jumaat, 17 Jun 2011

Maaf Abi



Tidak betah aku melihat kesengsaraan yang Abi lalui. Darah merah yang mengalir ke dalam tubuh Abi dari dua kampit menyebabkan Abi tidak selesa. Mungkin Abi tidak serasi dengan darah yang masuk ke dalam tubuhnya yang kurus itu. Sepanjang malam Abi tidak lena tidur. Abi minta umi memicit dan mengusap-usap seluruh tubuhnya. Umi tidak tidur semalaman kerana Abi mengerang dan meminta dipicit seluruh tubuhnya. Umi akur dengan permintaan Abi kerana dulu sewaktu Umi kena apendiks, Abi juga yang bersengkang mata menemani Umi. Cuma bezanya Abi di tempatkan di ICU dan Umi di wad biasa sahaja.

Aku tidak tahu apa yang akan terjadi sekiranya Abi tiada. Aku belum bersedia untuk semua ini. Selama ini semuanya aku serahkan kepada Abi untuk mengurusnya. Aku tidak pernah ambil tahu pasal rumah, pasal bil air, pasal bil elektrik, pasal kebun dan pasal segala-galanya. Yang aku tahu semuanya sudah tersedia, sudah disedia. Abi yang uruskannya. Malah aku juga tidak kisah apabila doktor memberitahu Abi bertahan untuk 3 bulan sahaja. Umi beritahu setahun yang lalu. Walaupun aku tahu kesihatan Abi merosot kebelakangan ini, tetapi aku menganggap bukan sekarang masanya Abi meninggalkan aku.

"Abang, mengucap bang."
"Allah. Allah. Allah"
"Masih ada denyut nadi lagi ni," kata Pak Cik Mat Siraj.
"Abi, mengucap Abi."
" Allah. Allah. Allah"

Abi tidak memberi apa-apa reaksi. Aku sedaya upaya menggunakan kemahiran mouth to mouth respiration yang aku pelajari sewaktu aku diuji untuk mendapatkan Sijil Pertolongan Cemas dua puluh tahun yang lalu. Ketika itu aku berumur sembilan belas tahun. Untuk lulus dalam peperiksaan itu aku kena menjalani ujian lisan yang dilakukan oleh seorang doktor bertauliah selain menjalankan amali pernafasan dari mulut ke mulut'ini. Kalau gagal maka aku tidak layak untuk mendapat Sijil yang akan ditandatangi oleh Yang di-Pertuan Agong untuk tempoh tiga tahun sahaja. Aku mengumpul kembali detik itu dan aku baringkan Abi separas lantai. Aku dongakkan dagu Abi ke atas, lalu aku hembuskan udara ke dalam mulut Abi. Aku genggam kedua-dua tangan. Aku silangkan jemari dan kutekapkan ke dada Abi sebelah kanan dari tengah tulang rusuk Abi. Aku tekan dada Abi lima kali. Aku lepaskan genggaman tanganku dan Aku pegang dagu Abi,. Sekali lagi Aku hembuskan udara ke dalam mulut Abi. Aku melihat dada Abi terangkat. Aku memeriksa denyutan nadi Abi pada urat pembuluh di leher Abi. Aku tidak dapat mengesannya.


Bau Abi harum kerana Abi sudah bersugi, Abi sudah bersuci. Abi sedang dalam wuduk kerana menurut Umi, Abi tersembam ke dinding sewaktu hendak bangun daripada bangku selepas mengambil wuduk. Aku kenal benar Abi, sebelum wuduk Abi mesti buang air, mandi bersihkan diri. Kesan di dahi Abi menguatkan kata hatiku bahawa Abi cuba bangun dari bangku dan masa itulah serangan jantung kali kedua berlaku. Lama juga Abi tersembam sebab Umi tidak terus bingkas kerana waktu itu Umi dalam tahiyat akhir. Umi cuma terdengar bunyi bangku beralih tetapi terus senyap. Umi memanggil-manggil Abi tetapi tiada jawapan. Umi dapati Abi tersembam di dinding. Dengan bantuan jiran sebelah, Abi di bawa ke tengah rumah dan aku tiba 2 minit kemudian. Aku menarik pergelangan tangan Abi. Aku periksa denyutan nadi Abi, begitu lemah sekali. Sekali lagi aku dongakkan dagu Abi, kuhembus udara ke dalam mulut Abi. Aku ulangi menekan dada Abi lima kali berselang sesaat. Tiada perubahan.

"Ya, Allah, apa ikhtiar aku sekarang ini?"
"Bawa ke hospital saja."
"Tak perlulah, nadinya lemah sangat ini."

Sambil aku membisikkan Allah ke telinga Abi, aku teringat kembali wajah Abi tersenyum sepanjang petang semalam. Kami duduk-duduk di hall sambil berbual-bual. Wajah Abi kelihatan sedikit ceria dan cerah jika dibandingkan dengan keadaannya beberapa hari yang lalu sewaktu dimasukkan ke dalam wad. Sepanjang petang Abi hanya tersenyum. Sejak pulang dari hospital Abi tidak banyak bercakap. Abi hanya tersenyum kalau rakan-rakan semasjid bercerita. Ramai yang datang. Ramai yang menziarahi Abi. Walaupun Abi bukan imam masjid, tetapi Abi orang penting. Semua orang tunggu Abi. Semua orang panggil Abi. Apabila Abi pulang tentu ada orang yang bawakan Abi buah tangan. Banyak buah tangan di rumah. Aku masih teringat kali terakhir Abi berkhidmat, Abi beritahu semua penduduk kampung. Abi serahkan kepada sesiapa yang dapat meneruskan. Malah Abi juga serahkan parang panjang kepada Pak Kassim. Pak Kassim yang memberikan kepada Abi supaya digunakan. Sekurang-kurangnya Pak Kassim dapat pahala. Bukan sahaja orang yang berkorban mendapat pahala tetapi orang yang menyembelih haiwan korban seperti Abi juga akan dapat pahala. Abi juga bertanya sama ada aku boleh menggantikannya. Aku menolak. Abi sedikit kecewa.

Orang datang rumah bukan sahaja menempah Abi sebagai penyembelih haiwan korban dan akikah tetapi juga sebab Abi mahir menggunting rambut. Semua penduduk kampung datang tidak kira waktu, pagi, petang, siang dan malam. Ada satu ketika aku masih ingat lagi Abi didatangi oleh sekumpulan lelaki Cina dari Parit Buluh. Aku tidak jelas apa butir perkara yang Abi bincangkan dengan lelaki Cina itu. Seingat aku, Abi masuk ke bilik, menukar pakaian dan membawa bakul setianya bersama-sama. Abi masuk ke dalam kereta dan terus dibawa oleh kumpulan lelaki Cina itu. Aku melihat wajah Umi selamba sahaja. Barangkali tidak ada apa-apa yang berlaku. Mungkin Umi sudah biasa dengan keadaan itu. Sejam kemudian Abi pulang dengan senyum. Membawa beberapa bungkusan. Buah-buah dalam tin, biskut dan beberapa barang makanan lain ada dalam bungkusan itu. Yang pasti ada gula-gula bantal kegemaranku. Abi tidak pernah gagal untuk membelikanku gula-gula itu, bersalut tiga lapis. Lapisan luar plastik jernih, lapisan kedua pembalut kertas dan lapisan ketiga kertas tipis tetapi boleh dimakan, di dalamnya gula-gula kacang tanah bersalut gula manis. Nikmatnya gula-gula bantal. Aku masih tidak tahu ke mana Abi pergi. Sekarang aku baru tahu daripada mulut Umi, Abi diminta menggunting rambut keluarga Cina di Parit Buluh. Cina mati. Digunting rambut sebelum dimasukkan ke dalam keranda. Bukan sekali, tetapi banyak kali. Malah setiap kali ada kematian orang Cina, Abi akan dijemput. Yang aku pasti ada banyak makanan berbeza kalau Abi pulang menggunting rambut di kedainya sebelah kedai Chabai.

Kalau aku cerita pasal Abi, aku rasa aku sangat bersalah. Setiap kali selepas solat Maghrib, Abi mengajarku membaca al-Quran. Satu persatu huruf diperkenalkan kepadaku. Abi membaca dahulu, aku mengikutnya. Salah sebut, rotan jawabnya. Abi memang garang. Pernah aku dikejar keliling tiang seri rumah sebab aku tidak mahu mengaji. Aku memang pandai membuat alasan, mengantuklah, penatlah dan macam-macam lagi. Itulah aku, malah rasanya ramai lagi yang macam aku. Tetapi Abi tidak putus asa, aku tetap diajarnya, walaupun setiap kali aku mengaji al-Quran ada-ada sahaja alasanku. Ada-ada sahaja tindakanku. Selalu aku dimarah sebab menggaru-garu kaki, tangan, badan, kepala. Rasanya tempat yang tidak gatal pun menjadi gatal setiap kali aku mula mengaji al-Quran. Tapi Abi tetap mengajarku satu persatu. Selepas Abi mula sembahyang lima waktu di masjid, Umi pula mengambil giliran. Guruku yang baru ini lebih hebat, habis badanku kena siku dan lebam sebab kena ketip dengan jari telunjuk dan ibu jari tangannya. Adus...

Aku memang tidak pandai bersembang dengan Abi. Masa kecilku aku tidak berkesempatan bersembang dengan Abi. Abi keluar rumah sebelum aku bangun dan Abi pulang dari Masjid tatkala aku sudah masuk tidur malam. Kalau hujung minggu atau hari minggu, aku bantu Abi memesin getah dengan menggunakan mesin getah yang Abi beli. Apabila Abi pulang daripada mengutip getah susu, Abi menuang susu getah ke dalam acuan loyang empat persegi. Abi masukkan asid kemudian Abi godak dengan menggunakan sekeping loyang. Ke kanan dan ke kiri Abi mengacau susu getah. Tidak lama kemudian getah membeku. Abi buat begitu pada beberapa loyang yang lain. Kadang-kadang ada lima loyang, kadang-kadang ada lapan loyang. Apabila mula mengeras, Abi cepat-cepat telangkupkan susu getah yang sudah mengental itu di atas lantai papan. Memang Abi buat lantai itu sedikit jarang supaya air dapat mengalir terus ke bawah dan menuju ke longkang yang Abi buat. Abi rapatkan tangan kanan dan kirinya. Aku lihat sama seperti tangan yang aku buat sewaktu membuat latihan untuk 'pernafasan dari mulut ke mulut'. Abi tekan dari tepi kanan getah yang terlangkup tadi. Satu persatu sehingga berketak-ketak. Kemudian Abi buat pada sebelah kanan dengan ketak-ketak yang sama. Abi ulang pada tengah dan Abi tekan satu-satu hingga habis. Jadi sekeping yang berketak-ketak. Aku bersedia berada di tepi mesin. Abi memasukkan bahagian awal kepingan getah tadi pada balak di mesin itu. Perlahan-lahan aku memusingkan pedal mesin dan kumesin perlahan-lahan. kepingan getah itu. Masuklah adunan getah tadi ke dalam mesin tersebut. Berat juga kuhayun pedal mesin getah. Terangkat-angkat badanku kerana getah itu perlu masuk menerusi dua balak itu dan keluar pada sebelah sana. Puas hatiku kalau getah itu habis dimesin.

Selepas kepingan getah itu dimesin pada mesin mulus tanpa berbunga, Abi memasukkan pula kepingan getah itu pada mesin berbunga garis lurus berbelang-belang serong. Aku jugalah yang memusingkan pedal mesin kedua ini dengan kudratku yang ketika itu berumur 10 tahun. Terkial-kial tetapi aku lihat Abi memasukkannya dengan cermat. Akhirnya keluarlah kepingan getah yang cantik berjalur sendeng dan selepas itu tugas aku menyidai kepingan getah itu pada batang buluh yang tersedia di ampaian. Bukan satu keping tetapi semua kepingan yang Abi buat akulah yang menjadi penamatnya. Kiranya akulah yang memberikan final touch. Setahu aku, itulah punca rezeki Abi. Kepingan getah itu dijual tetapi bukan semua milik Abi. Abi bahagi dua kerana Abi menoreh pokok getah orang lain.

Aku melanjutkan pelajaran di Pulau Pinang selepas keputusan peperiksaan SPM keluar. Setiap kali pulang bercuti, Abi mengajak aku membantunya menukang rumah. Maklumlah rumah kami yang sudah uzur ada-ada sahaja yang perlu dibaiki. Ada juga Abi mengajak aku membantunya membina rumah sewa di sebelah rumah kami. Abi kata duit sewa itu nanti boleh dijadikan duit pencen Abi dan Umi. Hingga sekarang rumah sewa Abi masih ada. Sebagai akibat selalu membantu Abi aku mula pandai bersembang dengan Abi, kadang-kadang membantunya membuat kira-kira, mencongak-congak budget untuk membeli batu bata dan simen. Malah Abi juga yang mengajar aku cara mengadun simen untuk melepa batu bata. Malah menyusun batu-bata juga aku diajarnya. Kalau menggergaji papan ataupun menanam botol sebagai faudation dan piling rumah, aku sudah biasa buat. Aku rasa Abi mengajar aku kemahiran yang tidak aku pelajari di Pulau Pinang. Abi juga selalu menulis surat kepadaku tetapi Abi menulisnya dengan menggunakan tulisan jawi. Kalau aku mengepos money order kepada Abi daripada Pulau Pinang, Abi yang akan menunaikannya di pejabat pos. Walaupun waktu itu elaun aku kecil tetapi aku ada juga mengirimkannya kepada Umi dan Abi. Tetapi kadang-kadang aku juga minta balik kalau budget aku habis, terutama waktu cuti. Terima kasih Abi.

"Allah. Allah. Allah"

Abi tidak memberi reaksi. Maaf, Abi. Aku tidak tahu apa yang harus aku bantu lagi. Walaupun Abi banyak mengajarku untuk berdikari tetapi hanya ini sahaja yang aku dapat lakukan pada saat terakhirmu Abi. Aku terus membisikkan nama Allah di telinga Abi. Berulang-ulang kali. Akhirnya aku dengar bunyi dengusan terakhir pada kerongkong Abi. Abi pergi dengan tenang dalam senyuman yang berpanjangan, Sabtu, 10 April 1999, jam 6.30 pagi dalam keadaan suci.

"Umi, Abi sudah tiada."
"Reda ya, Umi"






Ahad, 20 Mac 2011

Lupa

Tatkala angin senja
melamar singgah di pipi kanan,
aku tersentak kerana terlalu leka
dengan kerja-kerja dunia,
aku lupa sejenak dengan kerja-kerja akhirat.

Tatkala angin itu singgah
Rindu tetiba menerjah,
rindu kaabah
rindu raudah.

Tatkala angin itu mampir
aku teringat dosa
aku teringat alpa
Lama tak bertahajud,
lama tak bertasbih.

Masya-Allah
Subhanallah
Astagfirullah

dosaku,
taubatku,
bercampur baur dalam gelora
pasti kusepuh segera

rindu untuk bersamping dengan-Mu
rindu untuk berdamping sisi-Mu
Kau terimalah rindu di atmaku ini, ya Rabbi.

Jumaat, 18 Mac 2011

Alhamdulillah baru berkesempatan Berblog

Alhamdulillah baru berkesempatan berblog setelah sekian lama menyepi. Bukan kerana tiada aktiviti tetapi tidak berkesempatan untuk mencoretkan kata-kata dalam blog. Begitu sibuk dengan tugas seharian hingga lupa untuk mengisi maklumat terkini dalam blog kesayangan.

31 Januari 2011

Saat yang tidak dapat dilupakan apabila membawa pelajar-pelajar SAMURA untuk membuat persembahan sewaktu Majlis Makan Malam yang dihadiri oleh DYTM Raja Nazrin dan Puteri Sara serta Menteri Luar Negara dan 70 duta seluruh dunia. Pengalaman yang tidak dapat dilupakan apabila Kumpulan Ghazal Seri Kencana Samura dan Kumpulan Angklung Pawana Sukma membuat persembahan selama satu jam setengah tanpa henti. Pengalaman pertama dalam majlis rasmi memberikan kematangan kepada kami untuk berikan yang terbaik pada masa hadapan.


26 Februari 2011

Kali pertama muncul dalam TV melalui rancangan Nasi Lemak Kopi O iaitu TV9. Bersama-sama kumpulan Ghazal Seri Kencana Samura dan Kumpulan Zapin Zapura Samura membuat persembahan dalam dua buah lagu iaitu Zapin Bunga Hutan dan Aspalela dalam tema "Zaman Persekolahan", Kesemua pelajar yang menyertai rombongan ini akhirnya menjadi pelakon. Seronok kerana dapat memberikan pengalaman yang berharga kepada mereka.


8 Mac 2011

Muncul kali kedua dalam TV tetapi pada kali ini dalam rancangan Malaysia Hari Ini MHI yang disiarkan seawal 7.40 pagi. Kumpulan yang dibawa ialah Kumpulan Ghazal Seri Kencana Samura dan Pasukan Angklung Pawana Sukma. Membawakan 8 lagu sepanjang rancangan tersebut memberikan pengalaman yang berharga kepada pelajar SAMURA bagi menaikkan nama SAMURA yang telah diiktiraf sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi.


Minggu hadapan akan berangkat ke Batam dan selepas itu ke Jakarta Bandung pula. Mudah-mudahan sihat dan dapat menjalankan tugas harian dengan sempurna. ameen...

Isnin, 3 Januari 2011

Selamat Ulang Tahun kelahiran CL

Selamat Ulang Tahun Kelahiran CL!!


Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Ulang Tahun Kelahiran kepada CL. Didoakan semoga CL panjang umur, murah rezeki dan sihat selalu. Mudah2an CL sentiasa diberkati oleh Allah SWT. Walaupun belum pernah bersua muka dan berkomunikasi dengan CL, tetapi CL banyak memberi peluang kepada saya melihat MH setiap masa. Terima kasih CL kerana telah menjadikan PKDM sebagai wadah untuk berukhwah.