Jumaat, 16 Disember 2011

Medan 10-13 Disember 2011

Setelah setahun tidak menghabiskan masa berkualiti bersama-sama keluarga, pada tahun ini kami mengambil keputusan untuk menyeberang Selat Melaka pula. Selepas Ahmad 'Atif tamat peperiksaan SPM dan Ahmad 'Ammar tamat peperiksan Darjah Khas, kami berangkat ke Medan, Sumatera Utara, Indonesia. Sebelum berangkat ke Medan, kami sempat membuat kejutan kepada Ahmad 'Atif dengan sambutan kelahirannya yang ke 17.

9 Disember 2011
10 Disember 2011.
Seawal 4.00 pagi sudah bangun dan menyiapkan diri untuk ke KLIA. Bergerak pukul 5.00 pagi dan kami hampir pukul 5.30 pagi. Terus buat check-in dan tepat jam 6.00 pagi kami berjumpa dengan Tuan Haji Roffein yang akan membawa kami ke Medan dengan pesawat MH680. Selepas solat subuh, kami 'Bag-drop' kat counter dan terus bersarapan pagi di cafe yang ada di situ.
Pukul 8.25 pagi pesawat berlepas dari KLIA menuju ke Lapangan Terbang Polinia, Medan. Setibanya di situ, kami disambut mesra oleh Pak Dian. Kami berkenalan sesama ahli rombongan dan hanya 14 orang sahaja ahli rombongan pada kali ini, dan yang menariknya Mak Long, Pak Long dan Kak Long turut sama-sama ke Medan. Ahli seramai 8 orang dalam keluarga memberikan situasi yang menyelesakan. Bergerak ke bandar Medan dengan menaiki bas besar, kebanyakan kami duduk seorang diri kerana bas muat untuk semua.Kami dibawa ke sebuah restoran yang terletak di sebuah hotel. Makan bubur, mi goreng dan roti bakar. Kami kemudiannya di bawa ke Istana Maimon. Istana Maimun, terkadang disebut juga Istana Putri Hijau, merupakan istana kebesaran Kerajaan Deli. Istana ini didominasi warna kuning, warna kebesaran kerajaan Melayu. Sejak tahun 1946, Istana ini dihuni oleh para ahli waris Kesultanan Deli. Kami sempat melihat-lihat koleksi yang dipamer di ruang pertemuan, seperti foto-foto keluarga sultan, perabot rumah tangga Belanda kuno, dan berbagai jenis senjata. Kami juga sempat bergambar di situ sebagai kenang-kenangan.
Terus makan tengah hari di sebuah restoran kecil tetapi makanannya memang menyelerakan. Singgah sebentar di kedai batik dan telekung. Oleh sebab kepenatan, kami tidak membeli apa-apa dari kedai itu. Nak mencari pulsa untuk Simpati tetapi tiada, perjalanan kami diteruskan ke Danau Toba. Walaupun Pak Dian memberikan info sepanjang perjalanan tetapi akhirnya semua lena. Dalam perjalanan sejauh 165 km, yang biasanya mengambil masa 2 jam tetapi menjadi 4 jam 30 minit akibat jalan sempit dan menaiki serta menuruni bukit bukau. Pemandangan yang menarik petang itu melewati kampung-kampung sekitar amat mendamaikan. Berhenti sebentar di tangtang, tingting, tungtung untuk membeli jajan. Tak beli apa-apa pun kerana rasanya kurang enak dan harganya pun mahal.Kemudian menyambung perjalanan ke Danau Toba, Parapat. Tiba di Danau Toba Cottage sudah hampir Maghrib. Selepas Maghrib kami makan malam dan sempat bertemu beberapa orang kenalan dari Malaysia. Langsung turun ke pasar yang berdekatan tetapi sudah hampir dikemas dan ditutup kedai-kedainya. Sempat membeli buah-buahan dan juga pulsa. Akhirnya dapat menelefon emak di Batu Pahat setelah sekian lama mencari pulsa tetapi tidak dapat. Sebelum tidur makan pelam dan buah rambutan.
11 Disember 2011

Tidur tanpa penyaman udara mahupun kipas, suasana yang nyaman dan hawa yang dingin membangunkan aku apabila kokokan ayam yang sangat jarang didengar di Malaysia bersahut-sahutan dini hari. Selepas solat subuh berkemas dan bersarapan di puncak bukit dengan menyaksikan pemandangan menarik dari atas sana.
Menaiki feri ke Pulau Somasir, destinasi pertama ialah Kampung Ambarita, tempat masyarakat Batak memenggal kepala manusia yang didapati menceroboh mereka. Kemudian bertolak pula ke Kampung Tomok, terdapat perkuburuan Raja Batak di situ, sempat juga membeli belah, langsung pulang ke Danau Toba untuk makan tengah hari di sebuah restoran.

Meneruskan perjalanan ke Brastagi, dalam perjalanan kampung yang kecil kulihat tiada masjid kecuali gereja menandakan masyarakatnya banyak beragama kristian. Namun kawasan tanah tinggi menggambarkan tanahnya yang subur dan mampu menampung penanaman sayur-sayur, bunga-bungaan dan buah-buahan yang enak dan segar.Tiba di Mikie Holiday Resort yang sangat menarik dengan hiasan hari Natal. Sempat bergambar di sekeliling hotel sebelum makan malam, dan selepas makan malam, berposing lagi di laman hotel. Hotelnya sangat menarik. 12 Disember 2011

Sekali lagi tanpa penyaman udara dan kipas tapi mampu membuatkan kami masuk ke dalam comforter tebal. Bangun pagi selepas sarapan pagi sempat menikmati keindahan alam dan juga susun atur bunga-bungaan di hotel. Mengasyikkan.Selepas check out, kami langsung ke Pasar Brastagi. Di situ sempatlah membeli buah pisang kaki dan juga buah slak untuk di bawa pulang. Sempat juga membeli buah tangan sebagai ole-ole dari situ. Dalam perjalanan ke Medan, sempat juga makan buah limau madu yang dibeli tadi.
Berhenti sebentar di air terun, namun hujan kami tidak dapat menikmati pemandangan mahupun turun ke bawah air terjun. Minum kopi dan makan pisang goreng memanaskan badan kami. Cuaca di sini amat sejuk, mengingatkan keadaan sewaktu kami di Beijing pada tahun lepas.
Setibanya kami di Medan selepas makan tengah hari, kami Check In di Hotel Madani Medan.
Kemudiannya bersiap-siap untuk keluar shopping di Pasar Ikan, Medan. Bukan menjual ikan tetapi peniagayang asalnya menjual ikan di situ, tetapi kurang mendapat sambutan tetapi apabila pedagang Arab berjual kain maka tempat itu lebih dikunjungi. Kami ke Medan Mall untuk melihat apa-apa yang ada di situ, tetapi sudah hampir tutup. Kemudian kami makan malam di sebuah restoran Pelangi di Hotel Ancasa International (bertaraf 5 bintang), sempat bergambar di lobi hotel, kemudiannya pulang untuk tidur.
13 Disember 2011
Bangun pagi apabila tahrim kedengaran, selepas azan Subuh, teringin menjejakkan kaki di Masjid Raya, Medan untuk bersolat subuh berjamaah. Terasa nyaman dan selesa di masjid yang terletak benar-benar berhadapan Hotel Madani Medan. Selepas sarapan, kami menaiki teksi Bluebird untuk ke Medan Mall. Sempat membeli buah tangan dan ole-ole untuk dibawa pulang. Tiga buah pasar kami jejaki di bangunan Medan Mall itu, Selepas membeli KFC bucket, kami pun pulang ke hotel kerana mesti check-out pukul 1.00 tengah hari.


Pak Dian sudah menunggu di lobi hotel untuk menghantar kami ke Lapangan Terbang Polinia Medan. Kami menuju pulang dengan seribu kenangan yang sukar dilupakan. Selamat berangkat tepat jam 3.50 petang ke KLIA dan tiba pukul 5.50 petang. Selepas bersalam-salaman dengan kakak dan ipar, kami menuju ke Kajang pula.

Semoga bercuti lagi... destinasi mendatang ialah Korea Selatan...


2 ulasan: