Khamis, 18 Mac 2010

Kota Kinabalu 2010



Hari Pertama 14 Mac 2010 jam 6.30 pagi kami bertolak ke Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Ismail, Senai, Johor Bahru untuk ke Kota Kinabalu menggunakan pesawat AirAsia AK. Tepat jam 9.30 pagi kami berlepas ke Kota Kinabalu dalam barisan 20A,B,C,D,E. Penerbangan mengambil masa 1 jam 55 minit iaitu 25minit lebih awal daripada waktu yang sepatutnya. Walaupun ini kali ketiga aku ke Kota Kinabalu (pertama Disember 2006, kedua dua minggu lepas), tetapi merupakan kali pertama kami sekeluarga ke sana.


Anak-anakku teruja untuk ke Kota Kinabalu kerana memang sudah lama tidak berjalan-jalan selepas ke Langkawi November lalu. Setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu Terminal 2, kami menaiki teksi terus ke Hotel Winner yang terletak betul-betul di tengah-tengah bandar. Setibanya di bilik hotel, bilik kami belum siap dibersihkan, lantas kami mengambil keputusan untuk ke Pasar Tamu yang terletak tidak jauh dari hotel untuk melihat Tamu terbesar di Kota Kinabalu. Jam menunjukkan pukul 12.30 tengah hari iaitu cuma ada sekitar 30 minit baki. Pasar Tamu umpama Pasar Lambak kalau di tempat kita. Tujuannya mencari acuan kuih 'gandos' yang dipesan oleh mentua tetapi nampaknya hajat kami tidak kesampaian kerana acuan tersebut tidak ada.



Petangnya kami ke Pasar Filipine untuk melihat apa-apa yang boleh dibeli sebagai ole-ole nanti. Sempat juga ke pasar malam di Kampung Air di belakang hotel tempat kami menginap. Semuanya untuk 'window shopping' je.Malam pertama kami tidur awal sebab esoknya kami akan berjalan jauh.

Hari Kedua 15 Mac 2010, Seawal 5.00 pagi kami sudah bangun sebab subuh di Kota Kinabalu awal dan kami bersiap untuk ke Gunung Kinabalu Park. Kami bertolak lewat disebabkan kenderaan yang kami sewa lambat sampai, selepas bersarapan pagi dengan makan roti canai, kami bertolak berpandukan peta yang dibekalkan oleh pemilik kenderaan yang kami sewa. Kami terjah sahaja dengan menggunakan peta yang diberi walaupun beberapa kami saya sms kenalan di sana.


Tempat pertama yang kami lawati ialah Jambatan Tamparuli. Aku meninggalkan anak-anak dan isteriku di kaki jambatan dan memandu kenderaan menuju ke seberang dan menanti mereka di penghujung jambatan. Pengalaman menarik mereka rasai apabila menyeberang sungai menggunakan Jambatan Gantung Tamparuli.


Selepas itu kami terus menuju ke Tuaran (tempat tinggal Sableh) dan terus menuju ke puncak. Dalam perjalanan kami singgah di Nabalu iatu tempat persingahan pertama. Udaranya nyaman walalupun pada waktu itu panas terik. Sempat membeli beberapa cenderamata kami terus menuju ke Kinabalu Park. Tempat ini merupakan 'port' untuk mereka yang ingin mendaki ke puncak Gunung Kinabalu.


Kami berhenti seketika dan sempat mengunjungi Pameran Flora dan Fauna yang disediakan di situ. Banyak maklumat yang diperoleh dan ini memberikan pengetahuan baru kepada kami. Seterusnya kami menuju ke Kundasang. Katanya tempat ini merupakan tempat hasilan tanaman sayur-sayuran. Memang banyak sayur-sayuran yang segar dijual di sepanjang jalan. Walau bagaimanapun pembangunan sedang dilakukan di situ dan musim kemarau yang melanda menjadikan kawasan tersebut berdebu, kami hanya melihat dari dalam kenderaan sahaja. Cuba mencari tempat untuk makan tetapi nampaknya kurang berselera dengan situasi yang berlaku, lalu menuju ke Ranau.


Di Ranau kami makan tengah hari di sebuah restoran di situ. Selepas solat zuhor dan Asar secara jamak qasar aku dan keluarga menuru ke Poring. Kami tak mandi sebab tak bawa pakaian mandi. Nak naik kanopy tetapi dah tutup pulak, jadi kami habiskan masa dengan merendam kaki di situ.


Oleh sebab kami sudah lewat dan perlu pulang ke Kota Kinabalu sebelum malam, kami bergegas pulang dan tidak sempat ke Ladang Teh Sabah. Dalam perjalanan pulang sempat kami singgal di Nabalu untuk membeli beberapa cenderamata lagi terutama 'orang utan dan anaknya' untuk atiyah. Sepanjang jalan kami melihat Gunung Kinabalu dengan sangat dekat. Aku teruja, takjub dengan ciptaan Allah. Aku memang sudah lama ingin ke sini dan syukur alhamdulillah kerana hajatku termakbul. Kutitipkan gambar Gunung Kinabalu di sini




Setibanya kami di Kota Kinabalu hari sudah malam, selepas makan malam 'burger KFC' kami pun terus tidur.


Hari Ketiga 16 Mac 2010 kami awal-awal pagi sudah bersiap-siap. Lokasi lawatan hari ini adalah sekitar bandaraya Kota Kinabalu. Seawal pagi kami mengunjungi pasar filipine, kemudiannya ke Suria Sabah, makan tengah hari dan bergambar berlatar belakangkan Pulau Gaya. Selepas itu kami ke Lok Kawi Wildlife Park. Pertunjukan haiwan memang menyeronokkan dan menggembirakan dengan keletah haiwan-haiwan yang membuat persembahan. Seterusnya kami menunu ke Marine Park di UMS.


Sempat berjumpa Zaki untuk menyerahkan kepadanya Antologi Cerpen Tragedi Gunung Ledang.





Hari Keempat 17 Mac 2010, pagi-pagi lagi kami mengunjungi Pasar Filipine dan bersarapan di restoran berhadapan pasar tersebut. Membeli-belah untuk kali terakhir sebelum mengemas beg pakaian. Pukul 11.00 pagi kami 'check-out' dari hotel dan menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu Terminal 2. Selepas 'check-in' menggunakan mesin yang disediakan di situ, kami berlepas pulang tepat jam 3.45petang dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Ismail, Senai pada pukul 5.55 petang. Selepas membayar parking RM80, kami bertolak pulang ke Batu Pahat, singgah di Hentian R&R Machap untuk bersolat dan tiba di rumah pada pukul 9.00 malam.
Kenangan yang tidak dapat dilupakan bersama-sama keluarga. Aku tekad untuk menghabiskan setiap cuti bersekolah dengan berjalan-jalan menikmati alam ciptaan Tuhan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan